Cerpen Peras Ugut
Cerpen Peras Ugut
PERAS UGUT.
SK. Sg. Baru, Tanjung
Piandang, menyimpan banyak kisah suka duka buat diriku. Aku cuma sempat
bersekolah disitu setakat darjah tiga sahaja. Darjah empat cuma tiga
bulan. Awal April 1967 aku tinggalkan sekolah itu. Aku
tinggalkan penuh kesedihan dan rahsia. Sejak kecil aku bercita-cita ingin
menjadi guru Sains yang mampu merobah kehidupan ibubapaku yang daif dan miskin.
Mampu berjasa pada bangsa dan nusa. Di zaman kanak-kanak cita-cita besar yang
dapat aku fikirkan hanyalah setakat menjadi
guru, polis, tentera, doctor, dan jururawat sahaja. Diawal darjah empat, aku mencari helah
memaklumkan ibubapa, aku nak masuk sekolah agama rakyat. Aku katakan aku tak
minat lagi sekolah kebangsaan. Aku nak masuk sekolah agama rakyat berpengantar
Arab pula. Puas Ibu bapaku nasihatkan aku agar menamatkan dulu sekolah rendah sampai
darjah enam. Tapi aku berkeras mengatakan aku dah tak minat. Aku nak belajar agama
pula, nak jadi orang alim suatu masa nanti.
Diperingkat sekolah
rendah aku tergolong dalam kalangan budak pandai. Aku masih ingat, aku pernah dapat nombor satu.
Waktu darjah dua dan tiga pun aku dalam rangking top ten. Sebenarnya aku
berhenti sekolah rendah bukan sebab nak masuk sekolah agama sangat. Itu Cuma alasan untuk berhenti sahaja. Aku
terpaksa cari alasan munasabah untuk yakinkan ibubapaku. Kebetulan pula pada tahun enam puluhan sekolah agama mendapat
tempat dihati masyarakat Melayu. Sebenarnya aku sangat sayang dan merindui
sekolah kebangsaan Sg. Baru yang aku tinggalkan. Aku meninggalkannya penuh sedih
dan duka. Aku sedih cita-citaku mungkin berkubur
begitu sahaja. Tidak ada orang yang memahami jiwaku waktu itu. Ibu bapaku,
guru-guruku dan kawan-kawanku semuany tidak dapat memahami dan menyelami perasaanku waktu itu.
Aku berhenti sekolah
kebangsaan itu sebab aku tak takut dan tak sanggup lagi dibuli. Aku tak sanggup
lagi diperas ugut. Waktu itu aku tak mampu lagi menahan sabar. Budak gempal bernama Kamaruddin Ishak itu takkan hilang dari memoriku sampai bila-bila.
Budak itu berbadan besar dan kuat. Dia suka menunjuk samseng. Mungkin budak lain
pun kena buli dengan dia, tapi rasanya akulah yang paling teruk kena buli.
Selain aku kawan rapatku bernama Hashim pun diperas ugut juga. Aku dibulinya kerana aku berbadan kurus,
rendah diri, pemalu, tak suka gaduh dan tak menunjukkan keyakinan diri sendiri.
Aku masih ingat budak Kamaruddin Ishak ini jari kakinya berkembar tiga. Jari
ibu, jari telunjuk dan jari tengah. Semuanya berkembar dan saiznya sama besar
seperti jari ibu. Mukanya agak gelap sedikit, berbadan tegap dan sangat
menggerunkan aku waktu itu.
Setiap hari aku
dibekalkan duit sekolah sebanyak dua puluh sen. Sepuluh sen untuk belanja waktu
rehat. Sepuluh sen untuk tambang bas. Lima sen pergi dan lima sen balik. Jauh
rumahku dengan sekolah dalam dua setengah km. Dalam satu setengah batu mengikut
kiraan dahulu. Tahun 1964 wang 20 sen sudah cukup berharga. Lima sen beli
minuman atau aiskrim, dan lima sen untuk membeli sebungkus beehun, nasi lemak
atau kuih.
Sebaik sampai diperkarangan
sekolah, budak Jamaluddin akan menghampiriku dan kawan rapatku Hashim. “Bagi
aku sepuluh sen.” Dia meninggikan suara. Kami berdua terpaksa akur dengan
ugutannya. Memberikan padanya lima sen seorang. Hashim dan aku sama-sama
tinggal lima sen untuk belanja sekolah. Waktu rehat kami terpaksa berkongsi
makan dan minum dengan baki wang belanja lima sen. Kami diugut akan dibelasah
andainya tidak memberi wang yang dipinta. Kadang-kadang budak Kamaruddin Ishak
ini memaksa kami membeli bunga Teratai yang dikutipnya ditepi parit hadapan
rumahnya. Kerana takut dipengapakan kami reda sahaja walaupun kami tahu bunga
Teratai atau bunga Tunjung itu tidak ada erti dan guna kepada kami. Sekuntum
bunga Tunjung dengan harga 10 sen. Begitulah
hampir setiap hari aku kesekolah dalam keadaan takut, bimbang dan tertekan
dengan gelagat Kamaruddin kaki buli itu. Kami berdua amat bersyukur, andainya
budak samseng itu tak hadir sekolah. Mengapalah cikgu-cikgu sekolahku tak
pernah ambil tahu dan tak pernah menyelami perasaan murid-murid yang tertekan
seperti aku. Aku dan kawanku Kamaruddin
tak berani melaporkan pada cikgu, jauh sekali memberitahu ibubapaku. Kami takut
dibelasah oleh Kamaruddin jika dia tahu kami melaporkan pada cikgu perbuatan
jahatnya.
Ditakdirkan Allah,
suatu hari buku teks Sainsku hilang dari dalam beg yang diletak dalam meja. Aku
rasa sungguh ganjil belajar tanpa buku, sedangkan sebelum ini buku itu ada. Pada
waktu itu, cikgu hanya mengajar dengan cara membaca buku teks sahaja. Selain
buku teks kami juga menggunakan papan batu menggantikan buku catatan. Akibat
terlampau takut, aku memberitahu ibubapaku, buku Sainsku hilang kena curi.
Rupanya tanpa aku sedari, bapaku telah melaporkan pada Guru Besar, bernama
Cikgu Hamid, mengenai buku aku yang
hilang diambil budak lain. Esoknya Guru
Besar memanggilku kebiliknya. Takut dan bimbang menghantui fikiranku. Mahu
tidak mahu dalam keadaan takut aku hadir dihadapannya. “Kamu hilang buku teks
Sains?”. Soal Guru Besar padaku. “Ya Cikgu”. Jawabku. “Kamu tahu siapa yang
ambil?” Tanya Guru Besar. “Kawan sedarjah bernama Kamaruddin Cikgu.” Terpacul
jawapan dari mulutku. Sebenarnya aku cuma bersangka buruk menuduh Kamaruddin mengambil
buku itu. Aku menuduhnya kerana dia
jahat pada fikiranku. Bagiku waktu masih kanak-kanak, Kamaruddinlah manusia
paling jahat dalam dunia ini. Aku berdoa agar dia ditimpa bala dan mati masuk
neraka.
Sebenarnya aku
sendiri pun tak melihat dia mengambil buku itu. Meskipun dia jahat, selalu
membuliku tapi aku sedar sekarang bahawa aku tak patut menuduhnya tanpa bukti. Aku tak patut mendoakan keburukan
untuknya. Jamaluddin pula sewaktu
berhadapan dengan Guru Besar tidak mengaku mengambil buku itu dariku. Aku tak
tahu samaada Jamaluddin didera oleh Guru Besar bernama cikgu Hamid itu atau
tidak. Sampai hari ini aku rasa bersalah
dan menyesal kerana memfitnahnya. Sungguh tidak baik melakukan fitnah walaupun
kepada orang jahat.
Tepat pukul 6.15
petang loceng akan dibunyikan, menandakan sesi persekolahan waktu petang tamat.
Guru darjah mengarahkan kami menutup semua tingkap dan menterbalikkan kerusi
diatas meja. Itulah dia rutin harian sebelum balik. Setelah siap ketua kelas menjerit
menyuruh kami berbaris. “Terima Kasih Cikgu” jerit ketua darjah. Semua murid
mengucapkan terima kasih cikgu serentak.
Setelah itu kamipun meluru keluar untuk balik ke rumah masing-masing.
Sebaik sampai dikawasan pagar sekolah, tiba-tiba melayang seketul batu sebesar saiz
bola ping pong beberapa kaki sahaja dari belakangku. Nasib baik tak mengenai
kepalaku. Kalau kena barangkali boleh pecah atau cedera kepalaku. Aku menoleh
dan tepat jangkaanku budak samseng Kamaruddin takkan melepaskan aku. Mujurlah
waktu itu ada Pak Teh, guru Quran yang mengajar di masjid hadapan sekolah
nampak dan menjerit; “Ooi budak” . Pak Teh memang terkenal sebagai guru Quran
yang garang. Waktu mengajar Quran di masjid rotan tak lekang dari tangannya. Aku
selalu melihat dia mengajar Quran sementara menunggu sesi pertukaran pagi dan
petang. Barangkali kerana kenal dan takutkan Pak Teh Kamaruddin segera lari dan
membatalkan hasrat membelasahku fikirku. Nasib baiklah ada Pak Teh, selamat
juga aku. Mulai hari berikutnya aku tak
berani lagi nak kesekolah. Wajah bengis dan samseng Kamaruddin sering
terbayang difikiranku.
Setelah seminggu tak kesekolah, kerana takut dibelasah budak
bernama Jamaluddin, tiba-tiba aku ternampak sebuah kereta kecil berwarna hitam
berhenti dihadapan rumahku. “Siapalah tetamu yang datang tu? Ayahku
memang ramai kawan. Ramai kawannya ahli politik.” Aku cuba membuat kesimpulan. Alangkah terkejutnya aku, rupanya Cikgu Halim
guru darjahku datang ke rumahku bersama kawan rapatku Hashim. Kehadiran mereka
berdua disambut oleh ibubapaku. Mereka
berdua dilayan dengan baik dan mesra diberenda rumahku. Aku hanya tersipu malu,
terkedu mendengar perbualan cikgu dengan ibubapaku. “Pak cik dan mak cik
nasihatlah budak ni agar kembali semula ke sekolah Sg. Baru ini . Dia budak cerdik dan ada masa hadapan pada
pandangan saya. Saya sayangkan dia” Itulah
antara nasihat Cikgu Halim kepada ibubapaku yang aku masih ingat. Nasihat itu
selalu terngiang-ngiang ditelingaku hingga kini. “Saya cuba cikgu” jawab bapaku.
“Saya tak boleh buat apa kalau dia tak mahu.”
Nasihat ibubapaku
dan Cikgu Halim guru darjah tahun empatku tidak dapat mengubah pendirianku dari
berhenti meninggalkan sekolah kebangsaan. Sebenarnya aku amat menghargai
nasihat dan harapan cikgu Halim. Pesan dan harapannya agar aku terus belajar di
Sk. Sungai Baru sangat berharga dan tak akan aku lupakan sepanjang hayat. Cikgu
Halim telah menyempurnakan tanggungjawab dan peranannya sebagai seorang guru.
Pesan dan harapan itu akan aku sempurnakan dalam bentuk yang lain satu masa
nanti.
Meskipun hanya
bersekolah sk. sehingga awal darjah empat sahaja, fikiranku sering melayang ke
sekolah lama. Mengingat nama kawan-kawan;
Mohd. Shuib, Mat Radzi, Abdul Kudus, Arbain, Shahrin dan lain-lain yang
jumlahnya kira-kira tiga puluh lima orang. Melihat mereka kesekolah dengan
pakaian seragam baju putih dan seluar pendek biru meningkatkan rasa cemburu,
irihati dan penyesalan dalam diriku. Mereka tentu lebih berjaya dari diriku
suatu hari nanti. Aku hanya budak
sekolah agama. Pelajaranku takkan sampai kemana, fikirku waktu itu.
Sesungguhnya takdir
Allah penuh dengan hikmah yang wajib kita syukuri. Setahu aku hingga kini tidak
ada seorang pun dari murid-murid yang sedarjahku sejak dari darjah satu hingga
empat itu yang kejayaan dan kehidupan mereka lebih baik dari yang aku
capai. Meskipun aku tidak mempunyai
sijil berhenti sekolah darjah enam dan tidak melalui Peperiksaan Penilaian
Darjah Enam, meskipun jiwaku tetekan teruk angkara Kamaruddin pembuli itu,
tetapi tekanannyalah yang menjadi
perangsang menguatkan semangatku untuk maju dan mara mengejar kejayaan hidup
dunia dan akhirat.
Comments
Post a Comment