Sajak : Ibu oh Ibu

 

IBU OH IBU



Ibu oh ibu

Jasamu tinggi tak ternilai

Sejuta Dinar, segunung emas bukan tukarannya

Semua kejayaan, kebahagiaan, harta, pangkat  dan kedudukanku

Kurniaan Ilahi berkat restu dan keikhlasan doamu.

Ibu oh ibu

Kau lahirkan aku, kau susukan aku,

Kau suap, mandi dan pakaikan aku

Pagi, petang, siang dan malam aku dalam pangkuanmu.

Ibu oh ibu

Penat lelahmu, pengorbananmu, kasih dan sayangmu

Bukanlah emas, intan mutiara nilai bandingnya

Meskipun penat, mengantuk, miskin dan susah

Susu, makan, minum dan lampin pakaiku

Dicari, diadakan dan ditunaikan juga

Meskipun berhutang mahupun meminjam

Ke kebun dan ke bendang membanting tulang.

Ibu oh ibu

Dikala kau tua, uzur, hilang upaya

Dikala aku perkasa dan berjaya

Pengorbananku untukmu sedikit tak setara

Pemberianku sedikit dikala aku berjaya

Pengorbananmu besar menggunung

Dikala engkau susah, miskin dan derita

Sungguh jasamu tak terbalas sampai bila-bila

Ibu oh ibu

Syurgaku tersorok di bawah tapak kakimu

Reda Ilahi terpaut dengan redamu

Murka Ilahi padaku tidak akan padam selama marahmu padaku membara

Berihsan padamu fardu selepas mengabdi pada Ilahi

Bagiku tempatmu setelah Allah dan RasulNya.

 

 

DATO’ASAD BIN AWANG

Tambun Ipoh

 

29 Mac 2023

7  Ramadhan 1444

5.20 ptg

 

Comments

Popular posts from this blog